Ini last week punya cerita pada 21hb dan 22hb July 2018.
Dimana aku dan kawan-kawan ber"short trip" ke Sandakan.
Pengalaman pertama aku driving paling jauh buat masa ini.
Alang-alang ke Sandakan boleh lah singgah makan di Lanun Cafe ni... Tak perlu pun jadi “lanun” untuk makan di sini... Just jadi ”diri sendiri” saja.. Dan, jangan risau dalam ni pun tak ada orang lanun yang ada cuma orang lapar... Ok! Mahu tahu lebih lanjut, sila datang sendiri.
#iklantakberbayar
#sandakanfood
#sandakantrip
Rumah Agnes Keith sebahagian warisan Sandakan
Rumah terletak di Jalan Istana, Sandakan itu suatu ketika dulu pernah
didiami penulis, Agnes Newton Keith yang menghasilkan karya Land Below
The Wind pada 1939 hingga memasyhurkan Sabah di mata dunia.
FAKTA:
- Agnes Keith House terletak di Jalan Istana, lima minit dari bandar Sandakan
- 10 kilometer dari Lapangan Terbang Sandakan
- Tambang bas dari bandar Sandakan 50 sen, manakala RM5 bagi teksi untuk perjalanan sehala
- Dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang
- Yuran masuk bagi warga Malaysia RM2, manakala RM15 bagi pelancong asing
- Kemasukan percuma bagi pelajar berpakaian seragam, orang kurang upaya, warga tua dan pemandu teksi.
BAGAIKAN berada di era kolonial sebaik
melangkah masuk ke rumah kayu berwarna putih yang tersergam indah di
atas bukit menghadap teluk dan laut Sulu. Bermula
jam dinding jenama Monthe buatan Jerman, hingga peti sejuk lama
Kelvinator dan radio hitam Bush buatan London, semua barangan antik rapi
itu menggambarkan kemewahan masa lampau.
Di tingkat bawah, terdapat ruang tamu serta dapur dengan ruang makan
yang sangat luas. Sementara itu di tingkat atas, terdapat bilik tidur
utama dan bilik tamu yang kini dijadikan ruang teater selain bilik
bacaan dan galeri mini bergambar memaparkan perjalanan hidup Agnes
terutama ketika menetap di Sandakan.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah
Agnes Keith? Apakah istimewanya wanita itu sehingga namanya diabadikan
pada rumah berkenaan sedangkan mengikut senarai yang dipaparkan, rumah
itu pernah dihuni 26 individu lain.
Agnes
dilahirkan pada 6 Julai 1901 di Illinois, Amerika Syarikat. Sejak zaman
remaja, dia gemar menulis cerita fiksyen menggunakan pelbagai nama
samaran. Karyanya banyak disiarkan dalam beberapa majalah terkemuka
termasuk Reader’s Digest.
Malah,
selepas menamatkan pengajian di University Of California, Berkeley, dia
bertugas sebagai wartawan dengan The San Francisco Examiner pada 1924.
Selepas
berkahwin dengan Harry Keith, Pegawai Konservasi Hutan yang bertugas di
Sandakan pada 1934, Agnes mengikut suaminya ke Sandakan. Pada awalnya
mereka tinggal di rumah bujang yang disediakan untuk Harry tapi akhirnya
berpindah ke sebuah rumah lebih selesa di atas bukit.
Walaupun
mereka adalah penghuni kedua tinggal di rumah itu selepas M M Clark,
namun rumah itu lebih sinonim dikaitkan dengan Agnes kerana dalam rumah
itu dia menghasilkan buku ‘Land Below The Wind’ pada 1939 yang
menceritakan mengenai kehidupan masyarakat tempatan Sabah serta alam
semula jadinya.
Buku itu turut mengalahkan 600 buku lain untuk memenangi pertandingan kategori bukan fiksyen anjuran majalah Atlantic Monthly.
Malah
gelaran Negeri Di Bawah Bayu yang diberikan kepada Sabah adalah
inspirasi daripada karya Agnes itu sehinggakan dia dianggap sebagai
‘duta’ negeri berkenaan.
Apabila Perang
Dunia Kedua meletus, Agnes dan keluarganya pulang ke Amerika Syarikat.
Namun, apabila kembali ke Sandakan pada 1946, mereka mendapati rumah itu
musnah.
Ia kemudian dibina semula
untuk didiami keluarga Keith di mana Agnes menamakannya sebagai
Newlands. Di dalam rumah itulah terhasilnya dua lagi buku karangan Agnes
berjudul ‘Three Came Home’ pada 1946 dan ‘White Man Returns’ (1951).
Pasangan
itu pulang ke tanah air mereka pada 1952 namun nama Agnes terus kekal
dalam ingatan masyarakat Sabah khususnya Sandakan sehinggakan apabila
Muzium Negeri Sabah membina semula rumah itu, ia dinamakan Rumah Agnes
Keith sebagai satu penghargaan kepadanya.
Antara catatan Agnes iaitu tinggal di rumah itu memang menjadi idamannya dan dia sangat gembira sepanjang menjadi penghuninya.
Namun Agnes tidak lupa mencatatkan pengalaman seram yang sering dilalui sepanjang tinggal di rumah berkenaan.
Agnes
menulis: “Saya tidak percaya pada hantu. Tetapi setiap hari saya
melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada
suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di
hujung jalan dan menoleh ke belakang.”
Malah,
pengalaman seram turut dialami seorang lagi penghuni, Rosemary, isteri
kepada G L Carson yang menetap di situ selama 12 tahun (1955-1967).
Rosemary tinggal seorang diri ketika suaminya bertugas di Kota Kinabalu.
Menurut
Rosemary, dia terbangun pada waktu Subuh dan terdengar pintu di bilik
hujung rumah ditutup beberapa kali, diikuti bunyi orang berjalan menuju
ke biliknya.
Apabila dia membuka mata,
Rosemary mendapati satu lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil
memerhati ke arahnya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kerana
selepas itu dia pengsan.
Seorang
pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967
hingga 1968 pula terserempak dengan wanita sedang berdiri di anak
tangga.
Banyak lagi catatan dalam
bentuk majalah yang dipamerkan di satu sudut rumah itu yang menceritakan
kejadian seram dialami penghuni rumah berkenaan.
Ia
membuktikan di sebalik keunikan serta sejarahnya, Rumah Agnes Keith
turut menyimpan cerita misteri yang pastinya menjadikan ia lebih menarik
untuk dikunjungi.
Mungkinkah suatu
hari nanti, cucu cicit Agnes akan kembali ke sana untuk menyaksikan
sejarah yang ditempa oleh ahli keluarganya? Tiada siapa yang tahu.